Saturday, November 16, 2013

HARI IHTIFAL DAN TAUTAN MAHABBAH 2013

LAPORAN RINGKAS PROGRAM 
       
           Pada 16 November 2013 bersamaan hari Sabtu, Sek Ren Islam Sri Suria telah mengadakan Hari Ihtifal dan Tautan Mahabbah 2013 bertempat di Dewan SK Subang Bestari 2, Jalan Nova, Subang Bestari, Seksyen U5, Shah Alam. majlis tersebut telah berjalan dengan jayanya dan disambut baik oleh semua hadirin yang hadir pada majlis tersebut.

            Majlis ini bermula pada jam 08.00 pagi. majlis dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan Asmaul-Husna. seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar Sek Ren Islam Sri Suria; Ustaz Mohd. Fahmi bin Hj. Md. Miftahuddin dan dirasmikan oleh Pengerusi Sekolah; Ybhg. En. Za'im Hadi bin Meskam. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ustaz. Mohd. Nasir; Yang DiPertua Majlis Guru-Guru Besar Sek Ren Islam KAFA Daerah Petaling. majlis ini dihadiri oleh 200 orang hadirin yang terdiri daripada ibu bapa pelajar seisi keluarga bersama - sama pelajar. 

            Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh para pelajar yang dimulakan dengan persembahan daripada pelajar Tahun 1 Imam Bukhri yang mempersembahkan persembahan nyanyian nasyid. Mereka menyanyikan sebuah lagu iaitu Lagu 'Budi Budi Pekerti' yang dibimbing oleh Ustaz Amiruddin. seterusnya persembahan Bicara Berirama (Choral Speaking) daripada pelajar Tahun 2 Imam Muslim dan Tahun 3 Abu Daud yang bertajuk 'Sri Suria'. mereka dibimbing oleh Ustazah Shamimi dan Ustazah Norhafidah. acara diteruskan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar Tahap 2 yang terdiri daripada pelajar Tahun 4 Imam Tarmidzi, Tahun 5 Imam An - Nasaa'i dan Tahun 6 Ibnu Majah. mereka menyanyikan 3 buah lagu iaitu lagu Sekolah yang digubah sendiri oleh Ustaz Amiruddin yang bertajuk 'Sekolah Rendah Islam Sri Suria', lagu 'Pondok Kecil' dan lagu 'Hukum Tuhan'. Mereka mendapat bimbingan daripada Ustaz Aliff dan Ustaz Amiruddin.

            Persembahan ini diselangi dengan penyampaian anugerah untuk para pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran. Anugerah penyampaian dimulai dengan Anugerah Pencapaian Terbaik dalam kelas bermula dari Tahun 1 Imam Bukhari hingga Tahun 5 Imam An - Nasa'ai. Anugerah disampaikan oleh Tuan Pengerusi dan diiringi oleh Guru Besar; Ustaz Mohd. Fahmi. Seterusnya, penyampaian anugerah Pelajar Terbaik Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) untuk Tahun 6. senarai penuh penerima anugerah tersebut boleh dilihat di laman blog sekolah: sekrenislamsrisuria.blogspot.com

          
  Anugerah yang seterusnya disampaikan oleh Ustaz Mohd Nasir yang diiringi oleh Tuan Pengerusi Sek., Ybgh. En. Za'im Hadi iaitu anugerah - anugerah khas yang diwujudkan bagi mengiktiraf para pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang terbaik dalam akademik dan sahsiah. mereka dipilih oleh para guru berdasarkan prestasi sepanjang tahun mereka bersekolah. Anugerah Khas yang pertama ialah Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah yang disandang oleh adik Hameem Imran bin Hairul Hisyam dan adik Rumaisya Yasmin binti Mohd Nazri. Seterusnya ialah Anugerah Pelajar Harapan yang menjadi milik adik Muqri Aiman bin Norazizi; pelajar Tahun 5 Imam An - Nasa'ai. Seterusnya ialah Anugerah Kedatangan Penuh yang menjadi milik adik Irdina Aisyah bin Khairul Nizam; pelajar Tahun 1 Imam Bukhari. Anugerah Khas yang berikutnya ialah Anugerah Lonjakan Ikhtisas. Pelajar yang dipilih untuk anugerah ini merupakan pelajar yang telah menunjukkan peningkatan dalam pelajaran sepanjang pembelajaran beliau di sekolah. Anugerah ini menjadi milik adik Izzat bin Hasbullah; pelajar Tahun 4 Imam Tarmidzi. Anugerah Khas yang terakhir ialah Anugerah Khas Pengerusi. Penerima anugerah ini dipilih bukan daripada sudut kecemerlangan akademik sahaja, malah beliau dipilih berdasarkan peningkatan dalam sahsiah diri. Penerima anugerah khas yang ulung kalinya diadakan ini ialah adik Nik Muhammad Ashraf bin Nik Shahanshah; pelajar Tahun 6 Ibnu Majah. Bagi Anugerah Kelas Terbaik, Kelas Tahun 4 Imam Tarmidzi telah dipilih sebagai Kelas Terbaik untuk Tahun 2013 berdasarkan keperibadian yang telah ditunjukkan oleh pelajar - pelajar Kelas Tahun 4 Imam Tarmidzi. Pihak sekolah mengucapkan tahniah atas kejayaan para pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam akademik dan sahsiah diri.

            Majlis ini diadakan untuk meraikan para pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik dan juga cemerlang dari segi sahsiah diri. Selain itu, majlis ini diadakan untuk memperkenalkan para ibu bapa pelajar dengan barisan kepimpinan guru dan pentadbir yang baru di samping menaut mahabbah antara guru Sek Ren Islam Sri Suria dengan para ibu bapa pelajar-pelajar. Majlis ini turut dirangka untuk ibu bapa dan guru kelas anak masing-masing bagi membincangkan prestasi pelajaran anak - anak di sekolah serta memberi maklumbalas mengenai perkhidmatan yang diberikan kepada para pelajar.

            Selesai majlis penyampaian anugerah, para ibu bapa bergerak ke Bilik Perjumpaan untuk bertemu dengan guru - guru kelas anak masing - masing. sesi perjumpaan berjalan dengan baik. semua ibu bapa menandatangani Buku Laporan Kemajuan Pelajar anak masing-masing dan juga Laporan Mengaji untuk anak - anak yang mengaji sahaja. 

            Berakhirnya sesi perjumpaan antara ibu bapa dengan guru kelas anak masing-masing maka berakhirlah majlis yang serba ringkas ini. walaupun majlis ini diadakan secara tertutup, namun sambutan daripada ibu bapa pelajar amat menggalakkan. pelbagai maklum balas diterima untuk pihak kami memperbaiki dan menaiktaraf sistem pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah ini. diharapkan agar majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang dan terus mendapat sokongan dan dorongan daripada semua ibu bapa. terima kasih juga diucapkan kepada semua ibu bapa yang telah memberikan sumbangan kepada pihak sekolah untuk menjayakan majlis ini. 


Laporan Disediakan Oleh
(NURUL SYAHIDA HASSAN)
KETUA PENTADBIRAN
SEKOLAH RENDAH ISLAM SRI SURIA
2013


Tarikh: 2 Disember 2013.



P/S: GAMBAR - GAMBAR PROGRAM BOLEH DILIHAT DI LAMAN GALERI.

No comments:

Post a Comment